Wednesday, February 22, 2006
Tini Awek's Ampang

Tini tidak balik rumah lagi... kenapa?
SESIAPA yang tidak pernah minum dan sembang-sembang di restoren NZ, dia bukan budak KL! Samalah kepada siapa yang tidak pernah lepak di KLCC, dia tidak boleh mengaku dirinya adalah orang Kuala Lumpur. Tidak kira berapa banyak buku yang dia baca, atau berapa banyak filem yang dia tengok—untuk apa baca buku banyak-banyak kalau tidak tahu apa yang terjadi dipersekitaran?
Nama saya tetap Tini. Budak Ampang.
Masa Tini hendak beri nama kolum ini sebagai “Tini Awek’s Ampang,” Tini bergaduh tiga hari dengan editor. Dia tak suka Ampang. Tini tahu, Ampang bukan Bangsar atau Kinrara, atau Up-Town.
“Apa yang ada di Ampang, yang terlalu istimewa?” kata editor. Tini ketawa. “Ada Tini-lah!” Dia ketawa.
“Sekarang kau pilih,” kata Tini lagi, “antara Tini dengan tempat-tempat yang kau fikir ada class tu? Pilih sekarang,” gertak Tini.
Dia diam sekejap. Dia tidak jawab. Tini tak paksa dia jawab. Lepas makan di NZ, Tini kena hantar dia balik ke pejabat Sariberita. Setengah jam dengan kereta Satria Tini. Sudah pagi, jam 3.20 pagi. Esok Tini kerja. Dia tidak apalah kerana dia boleh tidur sampai jam 1 petang.
Tini lihat, sepanjang perjalanan itu, flat-flat baru dibina. Banyak yang hampir siap dari Wangsamaju, sampai ke Klang Gate. Semua flat itu tinggi-tinggi mencakar langit. Tini bayangkan, kota ini akan cepat membosankan. Lagi lima atau sepuluh tahun nanti, lebih ramai orang KL yang tertekan jiwa. Kalau sepuluh tahun lagi, umur Tini baru 33 tahun. Tini tidaklah terlalu tua masa itu. Mungkin ada seorang atau dua orang babe. Cute!
“Sebabnya itulah kita kena banyak baca, termasuk baca buku,” tiba-tiba dia mencelah ketika Spider mula menyanyikan lagu Nasrahku di radio.
“Memang ada yang baca buku tidak ambil peduli apapun, tapi yang tak membaca itu pun belum tentu berbuat apa-apa,” katanya lagi. Tini tak mahu sampuk sebab tengak layan lagu Tam Spider. Tini suka lirik; tak suka suara Tam yang cuba untuk jadi rock macam tahun 90-an dahulu.
Bayangkan bagaimana mereka boleh tinggal di sebuah ruang rumah yang sempit dan tinggi. Tini ingat waktu kecil-kecil di KL, sebab Tini juga berasal daripada keluarga yang tinggal di flat. Tapi, flat yang baba beli cuma empat tingkat. Itu pun tingkat bawah tempat parking kereta.
Paling kurang bagi satu flat isi tiga orang. Tini jangkakan, dalam satu kawasan baru ada lima ratus ke lapan unit rumah. Jadi berapa orang yang terpaksa hidup berhimpit-himpit? Sepuluh ribu? Lima belas ribu? Dua puluh atau tiga puluh ribu? Aduhai!
Jalan baru tidak ada. Saiz dan jumlah taman permainan tidak memadai berbanding jumlah rumah. Tini hairanlah, mengapa bagi orang Islam, surau terlalu penting berbanding taman mainan dan kawasan rehat? Bukanlah Tini cakap sembahyang tidak penting, tapi lihatlah, bagaimana boleh tenteram jiwa kalau taman riadah tak cukup…
Sekarang Tini dengar Flat Pekeliling hendak dirobohkan. Malam itu, Tini lihat kerja-kerja untuk merobohkan flat-flat itu seperti sudah dimulakan. Tini rasa sebahagian daripada penghuni flat itu dipindahkan ke flat yang baru. Kalau dulu, Tini rasa Flat Pekeliling-lah yang paling buruk dan kotor. Tapi, sekarang, Tini lihat banyak lagi flat baru yang akan jadi lebih teruk daripada Pekeliling.
“Kau turut sama rosakkan ‘kampong’ aku. Ini kampong aku. KL adalah kampong halaman Tini. Aku sayang KL, kau tak tahu sebab kau bukan orang KL. Kenapa buat rumah untuk seksa orang?” Tini katakan kepada editor. Dia diam.
Sebelum dia turun kereta, dia kata, “aku pilih Ampang sebab kau, Tini. Dan KL ini juga…” kata-katanya seperti tidak habis dan dia keluar kereta. Sudah pukul 4.10 pagi. Tini tidak jadi balik rumah malam itu. Tidur di pejabat Sariberita.
Esoknya Tini tidak pergi kerja, kerana tidak larat bangun pagi…
[kembali ke halaman utama]